Pembentukan Kemahiran Insaniah melalui Badan Beruniform Briged Rela Siswa Siswi (RELASIS) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Keywords:
Badan Beruniform Briged Rela Siswa Siswi (RELASIS) , Kemahiran Insaniah, Kokurikulum, Mahasiswa, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).Abstract
Pembentukan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa adalah penting dalam mempersiapkan diri mereka bagi menghadapi cabaran dunia moden yang semakin kompleks. Hal ini kerana, apabila mahasiswa ingin melangkah ke alam pekerjaan, mereka akan dinilai dalam pelbagai aspek oleh majikan. Di politeknik, mahasiswa diberi peluang untuk terlibat dalam aktiviti kokurikulum seperti persatuan, kelab, sukan serta badan beruniform. Melalui penglibatan kokurikulum ini, mereka dapat membangunkan kemahiran insaniah dalam melahirkan mahasiswa yang berholistik, berkualiti tinggi, dan berketrampilan. Objektif kajian ini dilakukan bagi untuk mengukur elemen-elemen kemahiran insaniah yang telah diterap dalam diri mahasiswa sepanjang penglibatan dalam Badan Beruniform Briged Rela Siswa Siswi (RELASIS), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA). Selain itu, objektif kajian juga adalah untuk mengkaji apakah kemahiran insaniah yang paling tinggi diperolehi oleh mahasiswa RELASIS PSA. Seramai 45 orang mahasiswa PSA yang berdaftar sebagai ahli RELASIS bagi sesi 2 2023/2024 dipilih sebagai responden kajian. Analisis data yang bersifat kuantitatif akan menilai empat elemen kemahiran insaniah iaitu kemahiran komunikasi, kemahiran etika dan moral, kemahiran kerja berpasukan serta kemahiran kepimpinan melalui penglibatan aktiviti yang dijalankan seperti kawad kaki, ujian menembak, rempuh halangan dan program kesukarelawan. Hasil dapatan kajian, didapati bahawa kemahiran insaniah kerja berpasukan merupakan nilai min paling tinggi iaitu 4.69 diikuti dengan kemahiran etika dan moral (4.53), kemahiran berkomunikasi (4.42) dan kemahiran kepimpinan (4.31). Secara keseluruhan, kajian ini memberi impak yang positif bahawa penyertaan mahasiswa dalam unit beruniform khususnya RELASIS dapat membentuk kemahiran insaniah dan akan mencadangkan pendekatan yang sesuai bagi meningkatkan lagi aspek kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar RELASIS PSA pada masa kelak.