Penglibatan Golongan Rentan dalam Pembelajaran Sepanjang Hayat di Kolej Komuniti
Keywords:
Golongan Rentan, Pandemik, PSHAbstract
Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) telah menjadi satu agenda global bagi menghadapi pelbagai cabaran dan perkembangan pantas teknologi masa kini. Pembudayaan PSH di peringkat nasional dapat memacu pertumbuhan ekonomi,kemajuan dan kemakmuran negara. Kolej Komuniti di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) memperkasakan PSH dikalangan masyarakat dan komuniti setempat sejak ia ditubuhkan pada tahun 2001. PSH Kolej Komuniti telah mewujudkan peluang melalui kursus-kursus pendek kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan rentan. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk melihat tahap penglibatan golongan rentan dalam program PSH di Kolej Komuniti seluruh Malaysia serta mengenalpasti faktor pendorong terhadap penglibatan golongan rentan dalam PSH. Peringkat pertama kajian adalah dengan menganalisa data sekunder yang diperolehi dari sistem e-PSH JPPKK bagi tahun 2019 - 2023. Seterusnya, kaedah temubual kumpulan berfokus bersama 15 orang panel yang merupakan golongan rentan yang pernah menyertai program PSH di Kolej Komuniti dijalankan bagi mengenal pasti faktor pendorong penglibatan mereka dalam PSH. Kesemua data temubual yang diperolehi kemudiannya dianalisa menggunakan analisa tematik dan diterjemahkan kedalam jadual matriks. Hasil dapatan mendapati golongan belia adalah yang paling ramai melibatkan diri dalam PSH pada tahun 2019-2023 dengan penyertaan sebanyak 356,513 orang. Tahun 2023 pula menunjukkan penglibatan golongan rentan yang paling ramai iaitu penyertaan sebanyak 194,730 orang. Penglibatan golongan rentan dalam PSH juga dilihat dapat menyumbang kembali kepada pembangunan ekonomi negara apabila golongan ini dapat bekerja sendiri, hidup berdikari dan mengurangkan kadar kebergantungan terhadap bantuan daripada kerajaan. 80% daripada panel menyatakan bahawa faktor yang mendorong penglibatan mereka dalam PSH adalah disebabkan oleh (ii)Peningkatan pendapatan dan Kemahiran, manakala 73% menjawab (i) minat dan sikap serta (iv) Fleksibel dan kebolehcapaian. Ini menunjukkan beberapa penambaihbaikan boleh dilaksanakan bagi bagi meningkatkan lagi kadar keterlibatan semua kategori golongan rentan terutamanya golongan ibu tunggal, OKU dan orang asli. Hal ini kerana aspirasi untuk membudayakan PSH bagi komuniti setempat serta golongan rentan adalah usaha berterusan yang perlu dimainkan oleh semua pihak dalam memastikan objektif PSH negara dapat direalisasikan dengan jayanya.