Penilaian Kebolehgunaan dan Kepuasan Pengguna Terhadap Aplikasi Mudah Alih e-ODE di Kalangan Pelajar Politeknik Mersing
Keywords:
e-ODE, SPSS, Penilaian, Soal-SelidikAbstract
Kajian ini bertujuan untuk menilai kebolehgunaan dan kepuasan pengguna terhadap aplikasi mudah alih e-ODE di kalangan pelajar Kejuruteraan Elektrik (DEE & DET) di Politeknik Mersing. Aplikasi ini merupakan aplikasi android, dibangunkan menggunakan perisian Adobe Animate yang mengandungi nota, contoh penyelesaian, soalan latihan dan soalan peperiksaan lepas bagi sub topik Ordinary Differential Equation dalam kursus DBM30043 Electrical Engineering Mathematics. Dalam usaha memahami persepsi pengguna terhadap aplikasi tersebut, kajian ini mengintegrasikan kerangka kerja model reka bentuk m-ADDIE. Pendekatan kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif melalui pengumpulan data dengan menggunakan soal selidik yang diedarkan kepada 62 pelajar yang menggunakan aplikasi e-ODE. Data yang diperolehi dianalisis menggunakan perisian statistik SPSS (Statistical Packages for Social Sciences) untuk menghasilkan hasil kajian berbentuk statistik deskriptif (kekerapan, min, peratus dan nilai-t). Ujian t digunakan dalam kajian ini, adalah bagi melihat perbezaan persepsi pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (DEE) dan pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik (DET) terhadap penilaian kebolehgunaan dan kepuasan penggunaan aplikasi e-ODE ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa 3 domain yang dipilih iaitu reka bentuk/reka letak, kemudahgunaan dan kepuasan adalah merupakan faktor utama yang mempengaruhi persepsi pelajar terhadap penggunaan aplikasi e-ODE ini, berikutan hasil kajian menunjukkan faktor-faktor ini telah mendapat skor min pada tahap tinggi. Dalam konteks ini, kajian ini memberikan sumbangan penting kepada pembangunan aplikasi mudah alih e-ODE dengan mengenal pasti keperluan pengguna serta peluang penambahbaikan yang perlu diambil kira oleh penyelidik. Implikasi kajian ini tidak hanya terbatas kepada Politeknik Mersing tetapi juga boleh diterapkan dalam konteks institusi pendidikan tinggi yang lain. Justeru, pemahaman yang lebih baik tentang kebolehgunaan dan kepuasan pengguna terhadap aplikasi mudah alih e-ODE dapat membantu dalam meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar di era digital ini.