Pendidikan TVET Inklusif Untuk Pelajar OKU (Masalah Pembelajaran): Kajian Kes Keperluan Program Sijil Khas Ikan Hiasan di Kolej Komuniti Tampin
Keywords:
Ikan Hiasan, Kajian Pasaran, Pelajar OKU, Pendidikan Inklusif, TVETAbstract
-
Kajian ini tentang pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disesuaikan untuk individu kurang upaya pembelajaran (OKU) di Malaysia. Ia mengetengahkan keperluan penting amalan inklusif yang sesuai dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pelajar OKU. Cabaran ini termasuk kelewatan pendedahan, perkhidmatan sokongan yang tidak mencukupi dan stigma masyarakat yang menghalang prospek pendidikan TVET mereka. Kajian ini menyokong usaha kolaboratif diantara institusi TVET, profesional pendidikan khas dan majikan untuk memudahkan serta melancarkan transisi ke dalam tenaga kerja dan memupuk persekitaran inklusif yang kondusif untuk kejayaan pelajar OKU. Kajian kes telah dijalankan terhadap analisis keperluan program Sijil Khas Ikan Hiasan di Kolej Komuniti Tampin pada tahun 2023. Program ini khusus dibangunkan untuk memenuhi keperluan pelajar OKU dalam kategori masalah pembelajaran, sejajar dengan perkembangan pesat industri ikan hiasan global. Kajian ini bertujuan untuk menilai penjajaran program dengan keperluan industri serta peluang kerjaya untuk graduan dan menggunakan soal selidik secara dalam talian yang diedarkan kepada pelbagai pihak berkepentingan termasuk komuniti, agensi, institusi pendidikan dan pemain industri. Dapatan kajian menunjukkan 95.5% responden menyatakan graduan bagi program ini mudah diterima di alam pekerjaan atau menyambung pengajian dan 97.7% responden menyatakan program ini dapat melahirkan graduan yang diingini oleh industri. Kajian menunjukkan program ini boleh dilaksanakan di Kolej Komuniti Tampin kerana responden bersetuju program ini dapat meningkatkan peluang kerjaya bagi pelajar OKU (masalah pembelajaran).