Tinjauan Terhadap Kesejahteraan Kesihatan Mental Belia Malaysia: Analisis Indeks Belia Malaysia 2021 dan 2022
Keywords:
Kebimbangan dan Kemurungan, Kesejahteraan Emosi, Kesihatan Mental, TekananAbstract
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk melaporkan tentang kesejahteraan kesihatan mental dalam kalangan belia Malaysia yang diterjemahkan melalui hasil dapatan kajian Indeks Belia Malaysia 2021 (IBM’21) dan Indeks Belia Malaysia 2022 (IBM’22). IBM’21 memperkenalkan pelbagai penambahbaikan berbanding tahun – tahun terdahulu (2006 – 2020). Penambahbaikan berterusan ini disokong oleh hasil dapatan kajian yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui laporan National Health and Morbidity Survey (NHMS) bagi tahun 2016 dan 2019. IBM dilaporkan melalui enam domain dan 41 indikator dihasilkan bertujuan bagi menyediakan input bagi penilaian dan perancangan bagi Rancangan Malaysia Kedua Belas (2021-2025). Namun, kajian ini memfokuskan kepada Domain Kesejahteraan Mental dan Fizikal serta hanya membincangkan hasil dapatan kajian daripada Indikator Kesihatan Mental yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu tekanan, kebimbangan dan kemurungan sahaja. Kajian ini dilaksanakan ke atas belia berusia 15 sehingga 30 tahun dengan menggunakan Blok Perhitungan (BP) yang dibangunkan oleh Jabatan Perangkan Malaysia (DOSM) bagi pengumpulan data melalui kaedah kuantitatif berdasarkan lokaliti responden yang terlibat dalam kajian ini. Hasil dapatan berdasarkan skala 0 hingga 100 melaporkan skor kesihatan mental tahun 2022 meningkat sebanyak 3.53 berbandingan tahun 2021, indikator tekanan dilihat merupakan antara skor yang paling rendah berbanding indikator kebimbangan dan kemurungan. Hasil analisis skor pencapaian kesihatan mental ini dapat memberikan gambaran tentang keadaan kesihatan mental dalam kalangan belia dan memberikan informasi tentang tekanan, kebimbangan, serta kemurungan. Selain itu, dapatan kajian ini dapat membantu pemegang taruh pembangunan belia dalam merangka strategi yang lebih efektif dan memberikan sokongan kepada individu yang memerlukan bantuan.