PENERAPAN APLIKASI ISCIENCE BERASASKAN PERMAINAN: TRANSFORMASI PEMBELAJARAN ENGINEERING SCIENCE ABAD KE-21

Authors

  • Nurul Fika Ayuni Pauzi Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Malaysia
  • Nurul Izzati Mohd Zaki Politeknik Banting, Malaysia

Keywords:

iSCIENCE, latihan kendiri, permainan.

Abstract

Kajian ini bertujuan membangunkan dan menilai keberkesanan aplikasi iSCIENCE berasaskan pendekatan gamifikasi untuk meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar terhadap subjek Engineering Science. Aplikasi ini direka bentuk secara interaktif dengan menggabungkan elemen permainan seperti kuiz, cabaran tahap, dan simulasi visual berasaskan topik dalam silibus kejuruteraan. Kajian ini menggunakan reka bentuk kuantitatif dengan pendekatan kaedah tinjauan dan ujian eksperimen. Seramai 50 orang pelajar kejuruteraan semester 1 di politeknik yang telah terlibat, iaitu 25 orang daripada Sesi I 2024/2025 dan 25 orang daripada Sesi II 2024/2025, yang diuji sebagai dua kumpulan bebas. Instrumen kajian terdiri daripada soal selidik persepsi, analisis markah ujian, dan ujian-t sampel bebas (independent samples t-test). Aplikasi ini boleh diakses melalui platform laman web (Netlify) dan dalam bentuk aplikasi mudah alih Android (.apk), membolehkan pembelajaran dijalankan secara dalam talian mahupun kendiri. Dapatan menunjukkan purata min persepsi pelajar terhadap penggunaan aplikasi adalah tinggi (Min = 4.74, SP = 0.48). Sementara itu, min skor kumpulan Sesi I ialah 3.96 (SP = 0.676) dan min kumpulan Sesi II ialah 4.40 (SP = 0.500). Hasil analisis ujian-t menunjukkan terdapat perbezaan min yang signifikan secara statistik antara kedua-dua kumpulan (t(48) = 2.617, p = 0.012), dengan perbezaan min sebanyak 0.440 dan selang keyakinan 95% antara 0.102 hingga 0.778. Ini membuktikan bahawa aplikasi ini berkesan dalam meningkatkan kefahaman pelajar terhadap kandungan pembelajaran. Kesimpulannya, aplikasi iSCIENCE bukan sahaja meningkatkan motivasi dan minat pelajar, tetapi turut menyokong pembelajaran fleksibel yang selari dengan kehendak pendidikan abad ke-21. Inovasi ini berpotensi dikembangkan ke bidang kejuruteraan lain dan dijadikan sebagai bahan sokongan pengajaran digital yang berimpak tinggi.

Downloads

Published

30-11-2025

How to Cite

Pauzi, N. F. A., & Mohd Zaki, N. I. (2025). PENERAPAN APLIKASI ISCIENCE BERASASKAN PERMAINAN: TRANSFORMASI PEMBELAJARAN ENGINEERING SCIENCE ABAD KE-21. SPSH 2025, 61–74. Retrieved from https://spsh.mypolycc.edu.my/proceedings/index.php/spsh2025/article/view/248

Issue

Section

STEM / Green Technology, and Industrial Innovation